nazri-utusan

Harga minimum umrah RM4,900

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Majlis Kawal Selia Umrah yang ditubuhkan berkuat kuasa serta-merta untuk memantau pengendalian pakej-pakej umrah di negara ini, menetapkan harga minimum atau penunjuk aras bagi setiap pakej umrah adalah RM4,900.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, sebarang harga pakej umrah yang ditawarkan di bawah RM4,900 boleh dianggap sebagai satu bentuk penipuan daripada individu atau agensi pelancongan.

“Ada (agensi pelancongan) yang menawarkan harga pakej umrah RM5,000 dan RM5,500, tetapi harga minimum ialah RM4,900. Jika ada yang menawarkan RM3,000, itu merupakan satu penipuan.

“Ini kerana purata harga yang ditetapkan atau harga penunjuk aras bagi pakej umrah ialah RM4,900 yang meliputi pakej umrah standard selama 12 hari dan 10 malam. Jadi, jika kurang daripada harga tersebut adalah menipu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pusat Kesihatan Spectrum of Life di sini hari ini.

Mengulas mengenai penubuhan Majlis Kawal Selia Umrah, Mohamed Nazri berkata, kerajaan menubuhkan majlis tersebut bagi memantau penipuan serta pengendalian pakej umrah dengan lebih sistematik dan berkesan di negara ini.

“Majlis tersebut berperanan mengawal selia segala hal berkaitan pengendalian pakej umrah serta bertindak sebagai pusat sehenti serta menjadi saluran penyelesaian aduan yang berkaitan dengannya.

“Mereka akan berfungsi untuk menerima sebarang aduan serta pertanyaan mengenai pakej umrah yang akan disalurkan kepada ahli-ahli majlis yang bertanggungjawab untuk tindakan lanjut,” katanya

Mohamed Nazri menjelaskan, majlis berkenaan yang dipengerusikan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan turut disertai 13 agensi kerajaan serta pelancongan antaranya Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Luar, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pengangkutan serta Lembaga Tabung Haji.

Beliau berkata, Jawhar akan diberi kuasa oleh kementerian untuk memantau serta mengambil tindakan terhadap sebarang perkara yang berkaitan pakej umrah.

“Ini bererti Jawhar akan membantu kementerian menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan. Jadi, agensi pelancongan dan pengembaraan yang terlibat dengan penipuan pakej umrah boleh dikenakan tindakan seperti denda atau pembatalan lesen.

“Kita turut mengkaji penetapan mengenakan hukuman penjara terhadap individu serta syarikat pelancongan yang didapati bersalah,” jelasnya.

Tambah beliau, isu pertindihan tugas dan bidang kuasa dalam kalangan agensi kerajaan juga tidak akan berlaku kerana peranan dan tanggungjawab tertakluk kepada punca kuasa agensi masing-masing.

Artikel: Utusan Melayu (M) Bhd

EIWA07

Eiwa Ajyad, Makkah

Eiwa Ajyad terletak di jalan Ajyad, Makkah. Jaraknya lebih kurang 350 meter dari dataran Masjid Al-Haram. Hotel ini bertaraf empat bintang dan selesa untuk diduduki.

kursus2

Kursus Umrah Mega Siri 2

Pada 31 Oktober 2015 lepas, Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama KuisCell melaksanakan Kursus Umrah Mega Siri 2 di Masjid Al-Mustaqim, Bandar Seri Putra, Kajang. Bagi yang terlepas kursus tersebut boleh menontonnya di sini.

Terima kasih kepada pihak Kuliah Lembah Klang yang sudi merakamkan kursus ini.

kursus

Kursus Umrah Mega Siri 1

Pada 20 September 2015 yang lalu, Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama KuisCell melaksanakan Kursus Umrah Mega Siri 1 di Masjid Al-Azhar, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Bandar Seri Putra, Kajang. Bagi yang terlepas kursus tersebut boleh menontonnya di sini.

Terima kasih kepada pihak Kuliah Lembah Klang yang sudi merakamkan kursus ini.

kingsalman

Tragedi Masjid Al-Haram dan perintah Raja Salman

binladenBaru-baru ini berlakunya sebuah tragedi di Masjid Al-Haram, Makkah Al-Mukarramah iaitu angin ribut yang kuat telah menumbangkan sebuah kren yang berada di sebelah tempat Sa’ie. Kren tersebut telah jatuh ke atas bangunan Sa’ie dan beberapa bahagian kren telah terjatuh di tempat lapang antara Mataf dan bangunan masjid hingga mengorbankan banyak nyawa, ada yang cedera dan ada yang mengalami kecacatan kekal.

Sehubungan kejadian tersebut, maka operasi pembinaan di Masjid Al-Haram dihentikan serta merta. Syarikat pembinaan Bin Laden (pemilik kren dan projek) digantung dari semua projek yang sedang berjalan, dinilai semula bagi projek-projek sedang berjalan yang lain serta dilarang menyertai projek akan datang di Saudi sehingga semua siasatan lengkap dan hukuman telah lengkap kemudian barulah disemak semula kelayakan syarikat ini untuk turut membida projek akan datang. Ini kerana menurut siasatan awal, kren yang tumbang diletakkan di tempat yang salah dan posisi yang tidak selamat. Semua anggota projek yang terbabit dilarang dari tinggalkan Arab Saudi sehingga semua siasatan tamat.

Raja Salman dan Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan:

1. Bayaran pampasan Riyal 1 juta (RM 1.14 juta) bagi waris si mati.
2. Bayaran pampasan Riyal 1 juta (RM 1.14 juta) bagi setiap yang cedera yang sebabkan kecacatan kekal.
3. Bayaran pampasan riyal 500 ribu (RM573 ribu) bagi cedera yang lain.
4. Diberikan jemputan khas seramai 2 orang dari waris si mati untuk tunai Haji jemputan Diraja tahun 1437H.
5. Dibenarkan semua jemaah Haji yang cedera sehingga tidak mampu tunai Haji tahun ini dengan baik, untuk kembali menunaikan Haji tahun hadapan dengan pakej jemputan Diraja.
6. Dibenarkan beberapa ahli keluarga mangsa yang terlantar di hospital diberi visa khas untuk menunggu di Saudi dan diberi perhatian khas kepada mereka sehingga pulang.

Sumber: www.alriyadh.com/1082991

makkah-tragedy

segway

Fatwa: Hukum Tawaf Menggunakan Segway / Mini-Segway

Muqaddimah

Saya telah ditanya berkenaan dengan isu tawaf menggunakan sejenis alat moden yang dikenali dengan nama mini-segway ataupun hoverboard. Justeru, dalam Irsyad al-Fatwa kami kali ini akan membincangkan isu ini secara khusus.

Segway / Mini-Segway

Segway / Mini-segway adalah alat moden beroda dua yang digerakkan menggunakan kuasa bateri. Ianya telah direka oleh Dean Kamen dan alat ini telah dikeluarkan oleh syarikat Segway Inc.

Untuk menggunakannya, penunggang perlulah pandai mengimbangkan diri dan alat ini dilengkapi dengan sensor dan juga beberapa ciri yang lain. Alat ini mampu mencecah kelajuan sehingga 20.1 km/j. Kini ianya telah diinovasikan dan terdapat dalam keadaan yang lebih kecil dan ringkas dinamakan sebagai mini-segway. Sistem pergerakannya sama cuma ianya tidak mempunyai pemacu seperti Segway yang asal.

Hukum Menggunakan Alat Tersebut

Melihat kepada nas-nas yang Nabi SAW pernah tawaf dalam keadaan menunggang di atas unta, Ibn Abbas R.Anhuma meriwayatkan:
أنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم طَافَ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ عَلَى بَعِيرٍ يَسْتَلِمُ الرُّكْنَ بِمِحْجَنٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW telah tawaf pada haji al-wada’ (haji perpisahan) di atas unta dan beristilam di rukun dengan tongkatnya”.
Riwayat Muslim (1272), Abu Daud (1877), Al-Nasa’i (173), Ibn Majah (2948)

Begitu juga dengan hadis Umm Salamah R.Anha yang berkata:
شَكَوْت إلَى رَسُولِ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – أَنِّي أَشْتَكِي، فَقَالَ: طُوفِي مِنْ وَرَاءِ النَّاسِ، وَأَنْتِ رَاكِبَةٌ
Maksudnya: Aku mengadu kepada Rasulullah SAW yang aku kurang sihat. Maka jawab Baginda SAW: “Tawaflah belakang orang ramai dan kamu sedang dalam menunggang.”
Riwayat al-Bukhari (1633), Muslim (1276)

Di dalam hadis Jabir R.A:
طَافَ النَّبِيُّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – عَلَى رَاحِلَتِهِ، بِالْبَيْتِ، وَبَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ، لِيَرَاهُ النَّاسُ، وَلِيُشْرِفَ عَلَيْهِمْ، لِيَسْأَلُوهُ، فَإِنَّ النَّاسَ غَشُوهُ
Maksudnya: Nabi SAW telah tawaf di atas tunggangan di Ka’abah, sa’i di antara Safa dan Marwah, orang ramai melihatnya dan Baginda dapat menyelia untuk mereka bertanya kepada Baginda, maka sesungguhnya orang ramai mengerumuni Baginda.
Riwayat al-Nasa’i (2975)

Berdasarkan nas-nas, jelas menunjukkan kebolehan untuk melakukan tawaf dengan menggunakan kenderaan dan tunggangan (pada waktu itu), tetapi antara sebabnya ialah:

  • kerana untuk membimbing orang ramai.
  • kerana untuk orang ramai dapat mengikuti dan mempelajari.
  • kerana uzur atau sakit.

Justeru, hukum menggunakan alatan tersebut adalah harus.

Pendapat Ulama

Di dalam isu ini, terdapat tiga pendapat ulama’ yang utama membincangkannya:

Pendapat pertama: Sebahagian ulama’ seperti Al-Khiraqi mengatakan bahawa hukum tawaf menggunakan kenderaan atau di bawa tanpa uzur adalah tidak memadai. Ini juga merupakan satu pendapat dalam riwayat Ahmad dan alasannya kerana Nabi SAW bersabda:
الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ صَلَاةٌ
Maksudnya: Melakukan tawaf di Ka’bah adalah solat.
Riwayat al-Nasa’i (2922)

Oleh kerana tawaf merupakan ibadah yang berkaitan dengan ka’bah maka tidak harus dilakukannya dengan menaiki kenderaan tanpa uzur seperti solat. [Al-Mughni. Maktabah al-Kaherah, 3/358]

Pendapat kedua: Yang masyhur adalah memadai dan dikenakan dam dan ini adalah pendapat Malik dan Abu Hanifah kecuali Abu Hanifah menambah sekiranya seseorang itu masih berada di Mekah perlu diulang tawafnya itu dan sekiranya sudah pulang, maka hendaklah membayar dam. [Al-Hawi al-Kabir. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 4/151], [Al-Majmu’. Dar al-Fikr, 8/27].

Pendapat ketiga: hukumnya adalah memadai dan tidak dikenakan dam. Ini ialah pendapat Abu Bakar, mazhab Syaf’ie dan Ibn al-Munzir. Mereka beralasan dengan mengatakan Nabi SAW telah tawaf dalam keadaan menunggang.

Ibn al-Munzir berkata: “Tidak diterima pendapat seseorang setelah adanya perbuatan daripada Nabi SAW kerana Allah SWT telah perintahkan tawaf secara mutlak. Maka dengan cara mana sekalipun ianya memadai dan tidak harus taqyidkan yang mutlak tanpa dalil.” [Al-Mughni. Maktabah al-Kaherah, 3/358]

Tarjih

Setelah melihat ketiga-tiga pandangan di atas, kami cenderung kepada pendapat yang mengharuskannya selaras dengan mazhab Syafi’e, Ibn al-Munzir dan ramai lagi kerana nas yang sahih lagi sarih (jelas) menunjukkan kearah itu.

Walaupun begitu, beberapa kriteria perlu difahami dan diraikan:

  • Tawaf secara biasa (berjalan) jauh lebih afdhal (baik) dan aula (utama) kerana ia merupakan perbuatan Nabi SAW pada kebanyakan keadaan dan juga para Sahabat.
  • Raikan adab tawaf dengan sebaik mungkin.
  • Penuhi syarat-syarat tawaf agar tidak terbatal.
  • Jauhi dari riya’, ‘ujub dan niat bermegah ketika menggunakannya.
  • Jangan sesekali melanggar orang ramai atau menyakiti mereka.

Semoga dengan pencerahan ini dapat memberikan kefahaman sebaik mungkin mengenai hukum tawaf menggunakan segway / mini-segway

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
18 Zulkaedah 1436H bersamaan 2 September 2015

Sumber

ABDUL AZEEZ: Jemaah haji Malaysia diminta tidak terpedaya dengan khabar angin yang menyatakan Ringgit Malaysia (RM) tidak boleh ditukar di Tanah Suci.

Abdul Azeez: Jangan terpedaya dakyah ringgit tidak laku di Tanah Suci

ABDUL AZEEZ: Jemaah haji Malaysia diminta tidak terpedaya dengan khabar angin yang menyatakan Ringgit Malaysia (RM) tidak boleh ditukar di Tanah Suci.

ABDUL AZEEZ: Jemaah haji Malaysia diminta tidak terpedaya dengan khabar angin yang menyatakan Ringgit Malaysia (RM) tidak boleh ditukar di Tanah Suci.

JERANTUT: Jemaah haji Malaysia diminta tidak terpedaya dengan khabar angin yang menyatakan Ringgit Malaysia (RM) tidak boleh ditukar di Tanah Suci.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, maklumat itu tidak benar dan sehubungan itu jemaah haji tidak perlu panik dengan laporan yang tersebar dalam laman sosial itu.

“Maklumat yang terdapat dalam media sosial menyatakan duit kita tak boleh ditukar tak boleh diguna pakai itu satu perkara yang palsu.

“Saya telah berhubung dengan Pengarah Operasi Tabung Haji awal pagi tadi (yang berada di tanah suci) dan beliau menyatakan tiada masalah mengenai perkara itu.

“Duit kita walaupun duit kecil RM10, RM5 dia orang pun ada (untuk ditukar),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga jemaah haji Allahyarham Zaleha Yasin di Kota Gelanggi 4 di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Lembaga Tabung Haji Tan Sri Abdul Shukor Husin dan Anggota Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris yang kemudian bersama-sama menyertai majlis tahlil Allahyarham Zaleha, 63 yang meninggal dunia di Madinah.

Allahyarham Zaleha yang tiba di Madinah bersama suaminya Jaafar Deran,73, pada 18 Ogos meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 24 Ogos lepas.

Arwah sebelum itu mengadu sakit dada, dibawa ke Klinik Kesihatan TH untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke ke Hospital King Fahd, Madinah pada 20 Ogos.

Dalam pada itu Abdul Azeez turut menyangkal dakwaan kononnya kejatuhan nilai ringgit telah menyebabkan pengurup wang di Makkah, Jeddah dan Madinah tidak mahu menerima duit Malaysia.

“Jangan sebar perkara tidak betul, saya faham kadangkala mereka nak kongsi informasi yang diterima melalui telefon bimbit, tapi sekiranya tidak sahih, jangan kongsi,” katanya.

Jemaah haji, selain itu turut diingatkan supaya tidak membawa duit yang banyak sebaliknya menyimpan dalam akaun Tabung Haji masing-masing kerana ia lebih terjamin.

Beliau berkata, setiap jemaah haji boleh mengeluarkan simpanan sehingga RM10,000 sehari menerusi kaunter yang disediakan oleh Tabung Haji di maktab penginapan masing-masing.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pergerakan jemaah Malaysia ke Tanah Suci berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.

Katanya, penerbangan akhir jemaah haji ke tanah suci dijadualkan pada 16 September ini.

Artikel: Astro Awani

01

Jadual Kursus Umrah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh kepada jemaah-jemaah tetamu Allah sekalian. Berikut adalah tarikh-tarikh bagi kursus umrah yang akan diadakan dalam masa terdekat sebelum penerbangan pertama musim 1438 Hijrah pada November 2016 ini.

Tarikh: 22 Oktober 2016
Lokasi: Dewan Menara Zakat, Alor Setar, Kedah
Masa: 9:00 pagi – 1:00 petang

Tarikh: 22 Oktober 2016
Lokasi: Masjid As-Salam, Puchong Perdana, Selangor
Masa: 9:00 pagi – 1:00 petang

Tarikh: 23 Oktober 2016
Lokasi: Masjid Al-Amin, Sg. Dua, Pulau Pinang
Masa: 3:00 petang – 5:00 petang

Tarikh: 29 Oktober 2016
Lokasi: Masjid Ayesha, Kok Lanas, Kelantan
Masa: 9:00 pagi – 1:00 petang

Tarikh: 30 Oktober 2016
Lokasi: Masjid Negeri, Ipoh, Perak
Masa: 9:00 pagi – 1:00 petang

Tarikh: 5 November 2016
Lokasi: Masjid Al-Hudam Kilang Lama, Kedah
Masa: 9:00 pagi – 1:00 petang

Akan dikemaskini dari masa ke semasa…

05

Fasa ketiga menaik taraf mataf dijangka siap sebelum musim haji

Apabila siap kelak, kira-kira 130,000 orang boleh mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah setiap jam, berbanding keupayaan mataf masa ini yang menampung kira-kira 70,000 orang sejam. - Photo AFP

Apabila siap kelak, kira-kira 130,000 orang boleh mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah setiap jam, berbanding keupayaan mataf masa ini yang menampung kira-kira 70,000 orang sejam. – Photo AFP

MAKKAH: Projek fasa ketiga menaik taraf mataf, iaitu tempat tawaf bertingkat mengelilingi Kaabah di Masjidil Haram di sini, dijangka siap sebelum musim haji tahun ini.

Datuk Bandar Makkah Dr Osama Fadl al-Baar berkata apabila siap kelak, kira-kira 130,000 orang boleh mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah setiap jam, berbanding keupayaan mataf masa ini yang menampung kira-kira 70,000 orang sejam semasa musim haji, umrah dan 10 hari terakhir Ramadan.

Beliau berkata projek berkenaan meningkatkan kapasiti mataf berbanding hanya 45,000 orang sejam sebelum struktur yang melingkari Kaabah itu dinaik taraf.

“Bermakna, kapasiti mataf bakal dipertingkatkan kepada dua orang setiap meter persegi sekali gus membolehkan struktur itu menampung lebih ramai jemaah,” katanya dalam sidang akhbar bersama media Malaysia di pejabatnya di sini hari ini.

Turut hadir, Konsul Haji Tabung Haji (TH) Redhuan Sabaruddin.

Osama berkata fasa menaik taraf mataf yang seterusnya dijadualkan siap pada tahun depan.

“Apabila projek pembesaran masjid tersebut siap, kira-kira dua juta umat Islam boleh mengerjakan solat dalam kawasan Masjidil Haram. Jumlah itu merupakan peningkatan tiga kali ganda kapasiti Masjidil Haram berbanding sebanyak 600,000 jemaah sekarang,” katanya.

Sementara itu, katanya projek lain seperti transit aliran ringan Metro Makkah dan sistem pengangkutan awam yang lain termasuk bas dijadualkan siap secara berperingkat menjelang 2020.

Katanya projek kereta api laju al-Haramain yang dijadualkan siap pada 2017 akan memendekkan masa perjalanan dari Madinah dan Jeddah menuju ke Makkah.

“Dari Madinah ke Makkah cuma mengambil masa dua jam manakala dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah ke Makkah pula hanya 30 minit,” katanya.

Artikel: Astro Awani