lost_found

Berhati-hati menjaga barangan anda walau di Masjidil Haram

Artikel ini ditulis oleh Masnira Ramli, rakyat Malaysia yang tinggal di Makkah Al-Mukarramah.

Minggu ini ramai nya orang malaysia datang umrah. Mungkin sebab sedang cuti sekolah. Jadual saya pun penuh. Ramai guests minggu ni. MasyaAllah seronok sangat. Terima kasih sebab sudi bertemu saya.. ❤️

Lately banyak dengar kes orang kehilangan barang-barang beharga di Masjidil Haram. Ketika sedang solat pun boleh hilang. Saya pun pernah hilang macam-macam, antaranya kasut, stroller baby, wallet dan semua barang penting hilang masa tengah solat. Jadi berhati-hati lah ya. Bukannya nak bersangka buruk atau menceritakan aib di tanah haram. Tapi saya minta semua jangan pandang ringan. Di sini pun hatta dalam masjid ada banyak kes kecurian.

Paling ngeri, masa saya dan suami sedang tawaf dulu, saya nampak ada satu tangan cuba mencelah masuk dalam poket jubah suami nak ambil wallet dalam tu. Saya pukul tangan tu kuat-kuat dan toleh, manusia tersebut terus lari. Tengah tawaf tuuuu, dekat depan Kaabah! Berani betul mereka tak takut dosa ke.

Kemudian, sabahat saya pernah sedang solat handbagnya tiba-tiba hilang! Handbag tau! Agak besar sizenya! Kemudian dia cari-cari rupanya ada ‘sindiket’ yang buat kerja macam ni. Kalau kat tempat solat perempuan hati-hati dengan orang-orang yang duduk atas kerusi. Dalam abaya dia ada banyak beg orang yang dicuri dan diletakkan di situ. Patut nampak kembong semacam je abaya nya! Aishh.

Kadang-kadang masa iktikaf pun kita tertidur di masjid, sedar-sedar barang penting semua hilang, jadi berhati-hatilah. Pakai beg sandang yang melekap di badan. Masa solat dan tidur tak perlu tanggalkan dari badan.

lost_found

Kalau anda kehilangan barng berharga di Masjidil Haram, boleh cuba cari barang2 anda di office ‘lost & found’ yang terletak di bahagian luar pintu bukit Marwah, tak jauh dari public toilet, tingkat atas sekali. Boleh juga guna drop pin ini: https://goo.gl/maps/Jb2nHxMR4RS2

Mana tau ada rezeki tiba-tiba ada jumpa di situ. Walaupun mungkin duitnya dah tidak ada, tapi barang-barang penting lain mungkin ada, insyaAllah.

segway

Fatwa: Hukum Tawaf Menggunakan Segway / Mini-Segway

Muqaddimah

Saya telah ditanya berkenaan dengan isu tawaf menggunakan sejenis alat moden yang dikenali dengan nama mini-segway ataupun hoverboard. Justeru, dalam Irsyad al-Fatwa kami kali ini akan membincangkan isu ini secara khusus.

Segway / Mini-Segway

Segway / Mini-segway adalah alat moden beroda dua yang digerakkan menggunakan kuasa bateri. Ianya telah direka oleh Dean Kamen dan alat ini telah dikeluarkan oleh syarikat Segway Inc.

Untuk menggunakannya, penunggang perlulah pandai mengimbangkan diri dan alat ini dilengkapi dengan sensor dan juga beberapa ciri yang lain. Alat ini mampu mencecah kelajuan sehingga 20.1 km/j. Kini ianya telah diinovasikan dan terdapat dalam keadaan yang lebih kecil dan ringkas dinamakan sebagai mini-segway. Sistem pergerakannya sama cuma ianya tidak mempunyai pemacu seperti Segway yang asal.

Hukum Menggunakan Alat Tersebut

Melihat kepada nas-nas yang Nabi SAW pernah tawaf dalam keadaan menunggang di atas unta, Ibn Abbas R.Anhuma meriwayatkan:
أنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم طَافَ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ عَلَى بَعِيرٍ يَسْتَلِمُ الرُّكْنَ بِمِحْجَنٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW telah tawaf pada haji al-wada’ (haji perpisahan) di atas unta dan beristilam di rukun dengan tongkatnya”.
Riwayat Muslim (1272), Abu Daud (1877), Al-Nasa’i (173), Ibn Majah (2948)

Begitu juga dengan hadis Umm Salamah R.Anha yang berkata:
شَكَوْت إلَى رَسُولِ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – أَنِّي أَشْتَكِي، فَقَالَ: طُوفِي مِنْ وَرَاءِ النَّاسِ، وَأَنْتِ رَاكِبَةٌ
Maksudnya: Aku mengadu kepada Rasulullah SAW yang aku kurang sihat. Maka jawab Baginda SAW: “Tawaflah belakang orang ramai dan kamu sedang dalam menunggang.”
Riwayat al-Bukhari (1633), Muslim (1276)

Di dalam hadis Jabir R.A:
طَافَ النَّبِيُّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – عَلَى رَاحِلَتِهِ، بِالْبَيْتِ، وَبَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ، لِيَرَاهُ النَّاسُ، وَلِيُشْرِفَ عَلَيْهِمْ، لِيَسْأَلُوهُ، فَإِنَّ النَّاسَ غَشُوهُ
Maksudnya: Nabi SAW telah tawaf di atas tunggangan di Ka’abah, sa’i di antara Safa dan Marwah, orang ramai melihatnya dan Baginda dapat menyelia untuk mereka bertanya kepada Baginda, maka sesungguhnya orang ramai mengerumuni Baginda.
Riwayat al-Nasa’i (2975)

Berdasarkan nas-nas, jelas menunjukkan kebolehan untuk melakukan tawaf dengan menggunakan kenderaan dan tunggangan (pada waktu itu), tetapi antara sebabnya ialah:

  • kerana untuk membimbing orang ramai.
  • kerana untuk orang ramai dapat mengikuti dan mempelajari.
  • kerana uzur atau sakit.

Justeru, hukum menggunakan alatan tersebut adalah harus.

Pendapat Ulama

Di dalam isu ini, terdapat tiga pendapat ulama’ yang utama membincangkannya:

Pendapat pertama: Sebahagian ulama’ seperti Al-Khiraqi mengatakan bahawa hukum tawaf menggunakan kenderaan atau di bawa tanpa uzur adalah tidak memadai. Ini juga merupakan satu pendapat dalam riwayat Ahmad dan alasannya kerana Nabi SAW bersabda:
الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ صَلَاةٌ
Maksudnya: Melakukan tawaf di Ka’bah adalah solat.
Riwayat al-Nasa’i (2922)

Oleh kerana tawaf merupakan ibadah yang berkaitan dengan ka’bah maka tidak harus dilakukannya dengan menaiki kenderaan tanpa uzur seperti solat. [Al-Mughni. Maktabah al-Kaherah, 3/358]

Pendapat kedua: Yang masyhur adalah memadai dan dikenakan dam dan ini adalah pendapat Malik dan Abu Hanifah kecuali Abu Hanifah menambah sekiranya seseorang itu masih berada di Mekah perlu diulang tawafnya itu dan sekiranya sudah pulang, maka hendaklah membayar dam. [Al-Hawi al-Kabir. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 4/151], [Al-Majmu’. Dar al-Fikr, 8/27].

Pendapat ketiga: hukumnya adalah memadai dan tidak dikenakan dam. Ini ialah pendapat Abu Bakar, mazhab Syaf’ie dan Ibn al-Munzir. Mereka beralasan dengan mengatakan Nabi SAW telah tawaf dalam keadaan menunggang.

Ibn al-Munzir berkata: “Tidak diterima pendapat seseorang setelah adanya perbuatan daripada Nabi SAW kerana Allah SWT telah perintahkan tawaf secara mutlak. Maka dengan cara mana sekalipun ianya memadai dan tidak harus taqyidkan yang mutlak tanpa dalil.” [Al-Mughni. Maktabah al-Kaherah, 3/358]

Tarjih

Setelah melihat ketiga-tiga pandangan di atas, kami cenderung kepada pendapat yang mengharuskannya selaras dengan mazhab Syafi’e, Ibn al-Munzir dan ramai lagi kerana nas yang sahih lagi sarih (jelas) menunjukkan kearah itu.

Walaupun begitu, beberapa kriteria perlu difahami dan diraikan:

  • Tawaf secara biasa (berjalan) jauh lebih afdhal (baik) dan aula (utama) kerana ia merupakan perbuatan Nabi SAW pada kebanyakan keadaan dan juga para Sahabat.
  • Raikan adab tawaf dengan sebaik mungkin.
  • Penuhi syarat-syarat tawaf agar tidak terbatal.
  • Jauhi dari riya’, ‘ujub dan niat bermegah ketika menggunakannya.
  • Jangan sesekali melanggar orang ramai atau menyakiti mereka.

Semoga dengan pencerahan ini dapat memberikan kefahaman sebaik mungkin mengenai hukum tawaf menggunakan segway / mini-segway

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
18 Zulkaedah 1436H bersamaan 2 September 2015

Sumber